KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara harus diakui gagal dan tidak boleh dipertahankan lagi, jelas Ahli Parlimen Gua Musang
Tengku Razaleigh Hamzah.

Jelasnya, antara lain, sistem pendidikan negara gagal dalam penyepaduan
budaya antara anggota masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa supaya
saling dapat menghargai adat resam yang berbeza
Oleh itu, Ahli
Parlimen paling lama berkhidmat itu mengesa satu tindakan yang ikhlas,
berani dan radikal dilaksanakan segera untuk memulihkan sistem
pendidikan negara.
“ Saya sedar urusan perubahan ini memerlukan
masa yang lama, tetapi kita boleh mempercepatkan proses ini dengan
belajar dan melihat kepada model yang sudah berjaya dan terbukti seperti
yang berlaku di China, Korea Selatan dan Finland,” jelas Tengku
Razaleigh.
“Kita juga gagal dalam mempersiapkan tenaga kerja mahir dan
berketrampilan. Kurang lebih 20% graduan kita menganggur dan majikan,
terutama dari kalangan syarikat swasta dan MNC lebih cenderung untuk
memilih graduan yang dari luar sistem kita.” tambahnya.
Tengku Razaleigh berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal anjuran
Teach For The Needs di Kuala Lumpur.
Turut hadir Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming.
Bekas Naib Presiden UMNO itu juga turut mempersoalkan standard yang
digunapakai sistem pendidikan negara yang dikatakan tidak menepati
keperluan atau kelayakan minimum yang ditetapkan di peringkat
antarabangsa.
Jelasnya dalam penilaian Programme for
International Students Assessment (PISA) 2009, Malaysia diletakkan pada
tangga yang ke 55 daripada 74 negara sebahagian besar pelajar kita yang
berumur 15 tahun gagal memenuhi kelayakan minimum, dengan 60%
daripadanya tidak memenuhi keperluan minimum untuk matematik, 44% dalam
membaca dan 43% dalam sains.
Sementara “Trends in International
Mathematics dan Science Study” (TIMSS) 2007, pula menunjukkan secara
purata, 20% pelajar kita tidak menepati keperluan minimum dalam
matematik dan sains.
“Anehnya, dapatan ini tidak selaras dengan
pencapaian cemerlang peringkat nasional yang hampir setiap tahun
dihebahkan secara besar-besaran.” jelasnya
“Apakah sistem
penilaian kita rendah, tidak menepati “standard” dan tidak tepat
sehingga kita cemerlang menurutnya tapi gagal berprestasi apabila
berdepan dengan penilaian antarabangsa yang lebih konklusif?” tambah
beliau.
Tengku Razaleigh turut menyelar sistem yang digunapakai
di peringkat Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan yang sering
memberi anugerah kepada Pengetua berdasarkan keputusan peperiksaan
cemerlang sekolah mereka.
Jelasnya, pelaksanaan ini walaupun
berniat baik boleh membawa kesan negatif apabila terdapatnya Pengetua
yang terlalu ghairah untuk “menang” dan ini boleh mengakibatkan
perkembangan yang tidak sihat.
“Sebagai contoh yang ekstrim,
adalah tidak mustahil bagi seseorang pelajar lemah tidak diterima masuk
ke sesebuah sekolah demi memastikan prestasi akademiknya tidak
terjejas.” jelasnya.
Berita mula diterbitkan pada: Julai 06, 2013 09:00 (MYT)
Tag: sistem pendidikan negara, tengku razaleigh hamzah